Nuffnag

ToTaL pAgEvIeWs

Thursday 27 February 2014

Usah Menambah Dosa Sedia Ada..

Firman Allah S.W.T :
Maksudnya : “ Dan sesiapa yang melakukan sesuatu kesalahan atau sesuatu dosa, kemudian ia menuduhkannya kepada orang yang tidak bersalah maka sesungguhnya ia telah memikul kesalahan berbuat dusta, dan melakukan dosa yang amat nyata.” (an-Nisa:112)

HURAIAN
Dalam ayat ini, Allah SWT menjelaskan perangai buruk sesetengah manusia yang telah melakukan maksiat dan kesalahan sama ada kecil atau besar, tetapi kemudiannya menuduh orang lain yang tidak bersalah melakukannya. Orang sebegini pada hakikatnya telah melakukan dua dosa iaitu dosa maksiat itu sendiri dan dosa berdusta atau tuduhan berbohong dan memfitnah. Matlamat orang yang melakukan ini sama ada untuk melepaskan diri daripada hukuman dunia sebagaimana yang ditetapkan oleh syariat ataupun sengaja untuk menganiaya orang lain, kerana cemburu, iri hati dan dengki.
 
Orang yang melakukan perkara sebegini pastinya menanggung dosa berganda atas apa yang dilakukannya, dan akan dihukum dengan azab yang pedih oleh Allah SWT di akhirat kelak. Selain itu kehidupannya di dunia juga tidak akan selamat dan tenteram lantaran dihantui rasa bersalah, sentiasa bimbang rahsianya terbongkar, kegelisahan yang berpanjangan dan hilang keberkatan terhadap rezeki dan harta benda.
 
Islam telah mengajar kita bahawa Allah SWT itu bersifat Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Justeru bagi seseorang Islam sekiranya terlanjur melakukan dosa atau maksiat maka bersegeralah bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah SWT. Dengan taubat yang bersungguh-sungguh (taubat nasuha) pastinya Allah akan mengampunkan dosa, dan jangan sekali kali mengulangi lagi maksiat dengan menuduh orang lain melakukan dosa tersebut. Sesungguhnya Allah SWT penerima taubat dan suka pada hamba-hamba Nya yang sentiasa bertaubat.
 
KESIMPULAN
 
Islam melarang umatnya menuduh orang yang tidak bersalah melakukan dosa atau maksiat, tuduhan ini amat berat ditanggung oleh orang yang menerima tuduhan tersebut, bagi orang  yang menuduh melakukan maksiat sebegini akan menanggung dosa yang besar kerana memfitnah orang lain. Sebelum terlambat hendaklah bertaubat, bagi setiap dosa atau maksiat yang terlanjur dialakukan maka bersegeralah bertaubat kepada Allah dengan taubat nasuha kerana Allah SWT itu Maha  Pengampun lagi Maha Penyayang.

No comments:

Post a Comment

HOT NEWS